Tuesday 8 May 2012

PENGENALAN PROGRAM MPV DI SMK DATUK UNDANG ABDUL MANAP, JOHOL, NEGERI SEMBILAN


PROGRAM MPV
SMK DATUK UNDANG ABDUL MANAP, JOHOL

Program MPV  adalah singkatan nama kepada 22 mata pelajaran elektif bercorak vokasional di tingkatan 4 dan 5 yang mula ditawarkan secara berperingkat-peringkat di sekolah menengah akademik harian mulai tahun 2002.

Matlamat Program MPV

Mata-mata pelajaran vokasional diperkenalkan bagi melahirkan pelajar berkemahiran dalam bidang usaha yang relevan dan bermakna untuk membolehkan mereka mendapat pekerjaaan, memulakan perniagaan atau meneruskan latihan di peringkat yang lebih tinggi

Objektif-Objektif Program

  • Memberi peluang yang luas kepada pelajar memilih mata pelajaran mengikut minat dan bakat mereka
  • Membekalkan kemahiran vokasional terutamanya kepada pelajar yang cenderung dalam pertukangan tangan
  • Memperluaskan pendidikan teknikal dan vokasional di sekolah menengah akademik
  • Sebagai persediaan awal bagi memenuhi keperluan tenaga mahir dan separa mahir dalam sector perindustrian negara

Penawaran Program MPV di sekolah

Selaras dengan matlamat dan objektif program MPV, sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Undang Abdul Manap telah di beri kepercayaan oleh pihak Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan untuk membuka 2 kelas pertama di bawah program MPV iaitu MPV Seni Reka Tanda dan MPV Lanskap Dan Nurseri pada tahun 2002.



 SINOPSIS 2 MATA PELAJARAN
VOKASIONAL (MPV) YANG DITAWARKAN DI SMK DATUK UNDANG ABDUL MANAP

1.         MATA PELAJARAN SENI REKA TANDA

Mata pelajaran ini digubal untuk membekalkan murid dengan kemahiran dan ketrampilan dalam bidang reka bentuk dan pembuatan tanda sebagai salah satu produk media komunikasi. Murid didedahkan kepada beberapa aspek reka bentuk dengan tumpuan kepada penghurufan (typography), penggunaan simbol-simbol grafik dan piawaian warna dalam menghasilkan kerja. Murid boleh menguasai kemahiran menyediakan projek sebenar bermula daripada penyediaan lakaran pada kertas sehingga penyediaan papan tanda dan teknik pemasangannya.

Pengalaman pembelajaran murid termasuk penghasilan lukisan tanda dalam 2D dan 3D kemahiran menggunakan pelbagai teknik manual seperti cat, semburan serta penghasilan lukisan kerja pada pelbagai media seperti kertas, kad, polisterin dan perspek. Penghasilan kerja grafik dengan bantuan komputer (CAS - Computer Aided Signage) juga diperkenalkan. Melalui mata pelajaran ini murid boleh menjadi pelukis atau pembantu pereka grafik di kilang grafik dan pengiklanan atau mengusahakan perniagaan sendiri dalam bidang berkaitan.


2.         MATA PELAJARAN LANDSKAP DAN NURSERI

Mata pelajaran ini berhasrat melahirkan murid yang boleh menghasilkan anak benih tumbuhan hiasan, menyenggara nurseri tumbuhan hiasan, merancang dan membina lanskap dengan menggunakan teknologi semasa. Murid terlibat dalam kerja-kerja amali di tapak nurseri dan di kawasan perlandskapan. Murid perlu merancang, membina dan menyenggara kaw asan landskap sekolah dan industri berkaitan semasa cuti penggal persekolahan.

Diantara kemahiran yang didedahkan kepada murid ialah mengenalpasti tumbuhan hiasan yang digunakan dalam industri landskap; melakukan pembiakan tumbuhan; merancang; melukis pelan dan mereka bentuk landskap; membina landskap lembut dan kejur; menyenggara kawasan landskap; dan mengurus perniagaan. Prospek kerjaya yang boleh diceburi oleh murid termasuklah mengusahakan nurseri sendiri atau bekerja di syarikat nurseri atau landskap.

No comments:

Post a Comment