Thursday 17 May 2012


SUKATAN PELAJARAN KURIKULUM BERSEPADU SEKOLAH MENENGAH

SENI REKA TANDA

PENDAHULUAN

Seni Reka Tanda ialah satu daripada mata pelajaran elektif vokasional di sekolah menengah atas dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Mata pelajaran ini digubal untuk membekalkan murid dengan kemahiran dan keterampilan dalam bidang reka bentuk dan pembuatan tanda sebagai salah satu produk media komunikasi. Seni Reka Tanda adalah lanjutan dan peluasan kepada mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu di sekolah menengah rendah. Penggubalan mata pelajaran ini merupakan usaha Kementerian Pendidikan ke arah mempertingkatkan kemahiran praktis dan menanam semangat keusahawanan di kalangan murid dalam industri pengiklanan.

Dalam mata pelajaran ini, murid didedahkan kepada beberapa aspek reka bentuk dengan tumpuan kepada penghurufan (tipografi), penggunaan simbol grafik dan piawaian warna dalam menghasilkan kerja. Murid menguasai kemahiran menyediakan projek sebenar daripada penyediaan lakaran pada kertas sehingga penyediaan papan tanda dan teknik pemasangannya. Pengalaman pembelajaran murid termasuk penghasilan lukisan tanda dalam 2-D dan 3-D; penggunaan teknik semburan cat dan angin; dan penghasilan lukisan kerja pada pelbagai media seperti kertas, kad, polisterin dan perspek. Penghasilan kerja grafik dengan bantuan komputer (CAS - Computer Aided Signage) juga diperkenalkan.

Mata pelajaran ini dirancang khas untuk murid yang mempunyai minat dan kecenderongan dalam kerja kemahiran pembuatan dan reka bentuk. Prospek kerjaya murid lepasan sekolah termasuk menjadi penulis tanda atau pembantu pereka grafik di sektor grafik dan pengiklanan atau mengusahakan perniagaan sendiri dalam bidang pembuatan dan reka bentuk.

MATLAMAT

Matlamat mata pelajaran Seni Reka Tanda adalah untuk melahirkan murid yang kreatif dan berkemahiran dalam kerja tanda tulis, papan tanda, kerja semburan angin dan cetakan skrin dengan mengamalkan budaya kerja yang baik dan selamat, serta boleh menjalankan perniagaan sendiri atau berupaya menjadi penyumbang tenaga kerja mahir di industri pengiklanan dan reka bentuk.

OBJEKTIF


Kurikulum Seni Reka Tanda adalah untuk membolehkan murid :

  1. Mengaplikasikan kemahiran dan pengetahuan mereka bentuk, membuat susun atur dan menanda tulis dalam pembuatan produk yang bernilai komersil untuk bidang pengiklanan
  2. Menggunakan kelengkapan visual untuk kerja pindahan tata letak
  3. Menghasilkan ilustrasi dengan menggunakan peralatan semburan angin
  4. Melakukan kerja semburan cat untuk menghasilkan papan tanda
  5. Melakukan kerja cetakan skrin untuk menghasilkan cetakan fabrik dan perspek
  6. Menggunakan kelengkapan Computer Aided Signage (CAS) untuk menghasilkan kerja pengiklanan
  7. Membuat anggaran bahan dan kos
  8. Mengamalkan prosedur kerja yang betul dan selamat
  9. Menguruskan kerja dengan baik dan berkomunikasi dengan berkesan
  10. Menyediakan rancangan perniagaan yang mudah.
ORGANISASI KANDUNGAN

Mata pelajaran Seni Reka Tanda diolah dalam sepuluh bidang pembelajaran. Setiap bidang pembelajaran dibahagikan dalam unit pembelajaran yang mengandungi beberapa tajuk. Deskripsi dan senarai unit pembelajaran dalam sembilan bidang pembelajaran ini adalah seperti berikut :

1. Asas Seni Reka Tanda

Bidang pembelajaran ini merangkumi pengetahuan asas seni reka tanda seperti unsur seni, logo, alat dan bahan. Lukisan geometri dan penyediaan buku skrap membantu murid dalam kerja membuat papan tanda.

1.1 Unsur seni

a. Garisan
b. Jalinan
c. Rupa
d. Bentuk
e. Ruang
f. Warna

1.2 Reka bentuk logo

a. Mereka bentuk logo
b. Jenis logo

1.3 Alatan dan bahan

a. Alatan lukisan grafik
b. Bahan lukisan grafik

1.4 Lukisan geometri asas

a. Bentuk geometri
b. Lukisan tiga dimensi

1.5 Buku skrap

2. Pengenalan kepada Tanda Tulis

Murid diperkenalkan kepada asas tanda tulis yang merangkumi muka taip (tipografi), satar asas tanda tulis, penjarakan huruf, memelar dan memadat huruf, redupan, tanda tulis gaya bebas dan teknik pemindahan.

2.1 Muka taip (tipografi)

2.2 Satar asas tanda tulis

2.3 Penjarakan huruf

2.4 Memelar dan memadat huruf (extend and condense)

2.5 Kesan bayang dan garis rupa

2.6 Tanda tulis gaya bebas

2.7 Teknik pemindahan

a.Projector paras atas (OHP)
b.Kaedah grid

3. Goresan dan Kerja Perspek

Dalam bidang pembelajaran ini murid didedahkan kepada penyediaan hasil kerja (artwork). Mereka mempraktikkan kemahiran memindahkan hasil kerja, memotong garisan lakaran dan menyembur cat. Murid juga membuat anggaran bahan dan kos.

3.1 Mereka bentuk hasil kerja (artwork)

3.2 Memindahkan hasil kerja

3.3 Memotong garisan lakaran

3.4 Menyembur cat

3.5 Anggaran bahan dan kos



4. Papan Tanda Vinil

Murid didedahkan kepada pengetahuan jenis vinil dan kegunaannya. Di samping itu mereka mempraktikkan kemahiran memotong perspek, menyusun atur huruf dan memindahkan vinil untuk menghasilkan papan tanda vinil yang kemas.

4.1 Jenis vinil dan kegunaannya

4.2 Memotong panel perspek

4.3 Menyususn atur pada panel

4.4 Teknik positif

a. Menyedia penghurufan secara manual dan komputer
b. Melekat penghurufan vinil

4.5 Teknik positif atau negatif

a. Melekat kepingan vinil pada panel
b. Memotong huruf pada vinil

4.6 Mengemas panel yang siap

4.7 Memasang panel

4.8 Anggaran bahan dan kos

5. Papan Tanda Semburan Cat

Dalam bidang pembelajaran ini murid mengenal pasti peralatan, mengamalkan langkah keselamatan dan teknik menghasilkan papan tanda semburan cat serta membuat anggaran bahan dan kos.

5.1 Peralatan dan bahan semburan cat

5.2 Menyediakan kelengkapan

5.3 Teknik menyembur latar belakang

5.4 Teknik menyembur penghurufan

5.5 Membersihkan peralatan

5.6 Anggaran bahan dan kos

6. Cetakan Skrin untuk Fabrik dan Perspek

Murid didedahkan kepada cara menghasilkan cetakan skrin Untuk fabrik dan perspek dengan menggunakan teknik foto emulsi.

6.1 Mereka bentuk hasil kerj

6.2 Memindahkan hasil kerja pada kertas surih

6.3 Membina dan memasang skrin pada kerangka

6.4 Menyapu foto emulsi pada skrin

6.5 Mendedahkan imej pada skrin foto emulsi

6.6 Jenis pencelup dan dakwat

6.7 Mencetak imej yang ada pada skrin ke fabrik atau plastik

6.8 Membersihkan skrin

6.9 Anggaran bahan dan kos

7. Kerja Semburan Angin

Kerja semburan angin merangkumi pelbagai aspek kemahiran seperti pengendalian alatan, teknik semburan, melekat dan memotong filem.

7.1 Peralatan semburan angin

7.2 Teknik asas semburan angin

7.3 Melekat dan memotong masking film

7.4 Kerja semburan angin

7.5 Membersihkan peralatan

7.6 Anggaran bahan dan kos

8. Papan Tanda Berlampu

Murid didedahakan kepada cara menghasilkan papan tanda berlampu. Mereka mempraktikkan kemahiran mengimpal arka keluli, mendawai lampu pendaflour dan memasang papan tanda berlampu.

8.1 Menyediakan huruf dan grafik pada panel tanda

8.2 Kerja kimpalan arka ringan

8.3 Kerja pendawaian lampu pendaflour

8.4 Memasang panel tanda kepada kerangka

8.5 Memasang papan tanda berlampu

9. Reka Tanda Bantuan Komputer (CAS)

Reka Tanda Bantuan Komputer (CAS) memberi peluang kepada murid menggunakan perkakasan dan perisian komputer bagi menghasilkan kerja papan tanda yang bermutu selaras dengan perkembangan teknologi dalam bidang ini.

9.1 Pengenalan kepada CAS

9.2 Kelengkapan sistem CAS

a. Perkakasan
b. Perisian

9.3 Penggunaan perisian

9.4 Penggunaan kelengkapan tambahan

10. Pengurusan dan Keusahawanan

Dalam bidang pembelajaran ini murid didedahkan kepada pengurusan tempat kerja, kemahiran berkomunikasi dan kemahiran membuat keputusan. Murid menyediakan rancangan perniagaan dan mengenal pasti peluang menceburi bidang perniagaan dalam seni reka tanda.

10.1 Pengurusan di tempat kerja

a. Pengurusan yang baik
b. Etika dan budaya kerja
c. Peraturan dan undang-undang kerja
d. Pemeliharaan alam sekitar dalam industri

10.2 Keusahawanan

a. Kemahiran berkomunikasi
b. Kemahiran membuat keputusan
c. Rancangan perniagaan
d. Agensi yang membantu usahawan
e. Pemasaran
f. Peluang kerjaya dalam bidang seni reka tanda



Tuesday 8 May 2012

SEJARAH PENUBUHAN SUBJEK MPV SENI REKA TANDA


SEJARAH DAN LATAR BELAKANG MPV SENI REKA TANDA

Setelah Sekolah Kebangsaan Datuk Undang Abdul Manap, Johol telah diberikan mandat untuk membuka Program MPV seramai 25 orang pelajar pertamanya telah memilih untuk memasuki prorgam MPV Seni Reka Tanda. Guru pertama MPV Seni Reka Tanda yang diberi kepercayaan oleh pihak sekolah pada masa itu ialah En. Abdul Rashid Bin Yahya. Beliau sebelum ini merupakan seorang guru Pendidikan Seni Visual di sekolah.

Pada awalnya kelas ini tidak mempunyai bengkel, oleh itu pembelajaran dan pengajaran modul Seni Reka Tanda pada masa itu dibuat di dalam kelas MPV tersebut yang terletak di bangunan sekolah. Segala kesusahan dan kepayahan dalam melaksanakan pentaksiran berasaskan sekolah di tempat yang tidak kondusif mendapat simpati pengetua pada masa itu iaitu En Maspan Bin Ubin. Pada akhir tahun 2002, MPV Seni Reka Tanda telah mempunyai sebuah bengkelnya yang tersendiri iaitu tempat tersebut dahulunya merupakan sebuah asrama desa.

Pada awal tahun 2003, sekolah telah mendapat seorang guru opsyen MPV Seni Reka Tanda iaitu En. Mohamad Nursham Bin Shamsuddin. Ini membolehkan seorang guru mengajar tingkatan 4 dan seorang lagi mengajar di tingkatan 5. Pada tahun yang sama, kumpulan pelajar pertama MPV Seni Reka Tanda telah mengambil Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ). Pada tahun 2006, guru pertama MPV Seni Reka Tanda iaitu En. Abdul Rashid Bin Yahya telah melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana menjadikan subjek MPV Seni Reka Tanda hanya mempunyai seorang guru yang akan mengajar tingkatan 4 dan 5. Sejak dari awal penubuhan subjek MPV Seni Reka Tanda ini telah mempunyai 113 pelajar yang berdaftar untuk mengambil Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM )

Kini pada tahun 2011, di bawah pimpinan Pengetua Tn. Hj. Mad Amin Bin Mohd Yusof, SMK Datuk Undang Abdul Manap, bengkel MPV Seni Reka Tanda telah mempunyai 7 bilik pembelajaran. Setiap bilik memainkan peranan yang tersendiri seperti Bilik Pembelajaran, Bengkel Kerja Berat, Bengkel Kimpalan Dan Semburan, Bilik Cetakan, Bilik Komputer, Stor dan Bilik Guru Atau Bilik Pengurusan.

PENGENALAN PROGRAM MPV DI SMK DATUK UNDANG ABDUL MANAP, JOHOL, NEGERI SEMBILAN


PROGRAM MPV
SMK DATUK UNDANG ABDUL MANAP, JOHOL

Program MPV  adalah singkatan nama kepada 22 mata pelajaran elektif bercorak vokasional di tingkatan 4 dan 5 yang mula ditawarkan secara berperingkat-peringkat di sekolah menengah akademik harian mulai tahun 2002.

Matlamat Program MPV

Mata-mata pelajaran vokasional diperkenalkan bagi melahirkan pelajar berkemahiran dalam bidang usaha yang relevan dan bermakna untuk membolehkan mereka mendapat pekerjaaan, memulakan perniagaan atau meneruskan latihan di peringkat yang lebih tinggi

Objektif-Objektif Program

  • Memberi peluang yang luas kepada pelajar memilih mata pelajaran mengikut minat dan bakat mereka
  • Membekalkan kemahiran vokasional terutamanya kepada pelajar yang cenderung dalam pertukangan tangan
  • Memperluaskan pendidikan teknikal dan vokasional di sekolah menengah akademik
  • Sebagai persediaan awal bagi memenuhi keperluan tenaga mahir dan separa mahir dalam sector perindustrian negara

Penawaran Program MPV di sekolah

Selaras dengan matlamat dan objektif program MPV, sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Undang Abdul Manap telah di beri kepercayaan oleh pihak Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan untuk membuka 2 kelas pertama di bawah program MPV iaitu MPV Seni Reka Tanda dan MPV Lanskap Dan Nurseri pada tahun 2002.



 SINOPSIS 2 MATA PELAJARAN
VOKASIONAL (MPV) YANG DITAWARKAN DI SMK DATUK UNDANG ABDUL MANAP

1.         MATA PELAJARAN SENI REKA TANDA

Mata pelajaran ini digubal untuk membekalkan murid dengan kemahiran dan ketrampilan dalam bidang reka bentuk dan pembuatan tanda sebagai salah satu produk media komunikasi. Murid didedahkan kepada beberapa aspek reka bentuk dengan tumpuan kepada penghurufan (typography), penggunaan simbol-simbol grafik dan piawaian warna dalam menghasilkan kerja. Murid boleh menguasai kemahiran menyediakan projek sebenar bermula daripada penyediaan lakaran pada kertas sehingga penyediaan papan tanda dan teknik pemasangannya.

Pengalaman pembelajaran murid termasuk penghasilan lukisan tanda dalam 2D dan 3D kemahiran menggunakan pelbagai teknik manual seperti cat, semburan serta penghasilan lukisan kerja pada pelbagai media seperti kertas, kad, polisterin dan perspek. Penghasilan kerja grafik dengan bantuan komputer (CAS - Computer Aided Signage) juga diperkenalkan. Melalui mata pelajaran ini murid boleh menjadi pelukis atau pembantu pereka grafik di kilang grafik dan pengiklanan atau mengusahakan perniagaan sendiri dalam bidang berkaitan.


2.         MATA PELAJARAN LANDSKAP DAN NURSERI

Mata pelajaran ini berhasrat melahirkan murid yang boleh menghasilkan anak benih tumbuhan hiasan, menyenggara nurseri tumbuhan hiasan, merancang dan membina lanskap dengan menggunakan teknologi semasa. Murid terlibat dalam kerja-kerja amali di tapak nurseri dan di kawasan perlandskapan. Murid perlu merancang, membina dan menyenggara kaw asan landskap sekolah dan industri berkaitan semasa cuti penggal persekolahan.

Diantara kemahiran yang didedahkan kepada murid ialah mengenalpasti tumbuhan hiasan yang digunakan dalam industri landskap; melakukan pembiakan tumbuhan; merancang; melukis pelan dan mereka bentuk landskap; membina landskap lembut dan kejur; menyenggara kawasan landskap; dan mengurus perniagaan. Prospek kerjaya yang boleh diceburi oleh murid termasuklah mengusahakan nurseri sendiri atau bekerja di syarikat nurseri atau landskap.